WakeUP project

8/21/2013

TG Nik Aziz :: Arab Saudi Belum Tentu Pegang Kunci Kebenaran Sekalipun Menjaga 2 Tanah Suci

Saya tidak terkejut apabila bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dibebaskan daripada penjara oleh Mahkamah Mesir.

Inilah tujuan sebenar rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera.


Tidak perlu berlindung di sebalik alasan ekonomi dan sebagainya.

Padahal kezaliman Hosni Mubarak selama 30 tahun menduduki takhta presiden satu fakta yang tidak boleh dinafikan sama sekali.

Barangkali, Sheikh Al-Azhar yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera pun sudah berpuas hati dengan pembebasan Hosni Mubarak.

Saya menghormati keilmuan yang ada pada Sheikh Al-Azhar, namun pendirian beliau dalam hal ini jelas salah seterang cahaya matahari di siang hari.

Pada saya, inilah ujian berat yang sedang dihadapi oleh gerakan Islam khususnya di Mesir iaitu di saat para pemimpin mereka disumbat ke dalam penjara manakala penjenayah besar dilepas bebas.

Berpuas hatilah kerajaan Arab Saudi yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera.

Benarlah kenyataan bahawa kebenaran itu milik ALLAH, tidak di Barat dan tidak Timur.

Sekalipun penjaga dua tanah suci dimuliakan ALLAH SWT dengan tugas ini, namun belum tentu mereka memegang anak kunci kebenaran.

Di samping menjaga dua tanah Suci, Arab Saudi jugalah yang menjaga telaga minyak yang menghilangkan haus Amerika Syarikat (AS) sekian lama.


Inilah satu-satunya negara yang dinamakan sempena nama pemerintahnya iaitu Bani Saud.

Justeru, janganlah Arab Saudi menyangka dengan sokongan mereka kepada tentera Mesir, mereka boleh mempengaruhi seluruh umat Islam di dunia.

Jika darah Abdullah bin Zubair RA pernah tertumpah akibat diperangi oleh Hajjaj bin Yusuf di Tanah Mekah, apa peliknya darah umat Islam di negara lain tertumpah angkara pemerintah Saudi hari ini?


Jika kabilah Arab Jahiliyyah pun pernah bertugas untuk menjaga Tanah Suci sebelum kedatangan Islam, apakah jaminan penjaga Tanah Suci hari ini bebas dari melakukan kesilapan?

Barangkali sedikit kasar kiasan saya, tetapi ia belum apa-apa jika dibandingkan dengan sokongan Arab Saudi terhadap tindakan tentera Mesir yang telah membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa.

Saya menyeru kepada jiwa-jiwa yang telah dimuliakan ALLAH SWT dengan ilmu agama, janganlah sesekali cenderung kepada kezaliman agar tidak disambar oleh api neraka.

Hari ini Mesir ditinggalkan 'saudara-saudara'nya, bagaikan Nabi Yusuf yang pernah dibuang oleh saudara-saudaranya di dalam telaga ribuan tahun yang lampau.

Tetapi Baginda akhirnya diselamatkan dan menjadi penguasa Mesir. Saya yakin Insya-ALLAH, Mesir akan keluar dari telaga kezaliman para tentera dan akan bangkit semula sebagai sebuah bumi yang subur dengan gerakan Islam.

Pesan saya kepada para hakim yang membebaskan Mubarak sebagaimana pesan ahli sihir yang beriman kepada Firaun :

فَاقْضِ مَا أَنْتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

yang bermaksud : Berhukumlah kamu selagi mana kamu boleh berhukum, sesungguhnya kamu hanya mampu berhukum di dalam kehidupan dunia ini sahaja... - Surah Toha, ayat 72

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas

No comments:

ALL POST