WakeUP project

9/11/2013

Guru hentak kepala pelajar

ALOR GAJAH - Ibu bapa kepada dua pelajar sebuah sekolah menengah di sini, kesal dengan tindakan seorang guru lelaki menampar dan menghentak kepada anaknya dengan buku teks, Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, Izzul Fahmi Zainal, 15, dan Nur Najwa Najihah Mohd Shah, 13, masing-masing pelajar tingkatan tiga dan satu, juga dihukum guru pendidikan jasmani itu hanya disebabkan tidak menegur guru berkenaan ketika bertemu di Dataran Keris di sini, 1 September lalu.

Ibu Izzul, Zurina Ibrahim, 40, berkata, sebelum kejadian, anaknya bersama tiga rakan sedang duduk atas pentas Dataran Keris sebelum dilihat guru berkenaan yang kebetulan berada di situ.

Surirumah itu mendakwa, anak keempat dari enam beradik itu bagaimanapun ditampar dan dipukul beberapa kali menggunakan tangan dan buku teks kira-kira 9.30 pagi pada sesi sekolah ganti, Sabtu lalu.

“Izzul terus tidur sebaik balik dari sekolah dan saya hanya menetahui kejadian selepas dihubungi ibu Najwa memaklumkan hal berkenaan.

“Saya terus mengejutkan Izzul dan terkejut melihat mata kanannya merah dan bengkak. Apabila ditanya, dia beritahu dipukul guru di dalam kelas yang terdapat lebih 30 pelajar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jelatang, di sini, semalam.

Zurina berkata, berikutan kejadian itu, dia bimbang kesihatan terutama bahagian otak dan mata terjejas kerana selepas dua hari, anaknya masih mengadu pandangannya kabur.

Sementara itu, menurut Izzul, sebelum dipukul dia yang kebetulan melalui kelas Najwa dipanggil guru berkenaan sebelum dimarahi dan berkata sesuatu berbaur ugutan.

“Dia tanya saya ‘kau pergi dataran kan? Kau nampak aku, kau buat bodoh je, siap baring-baring pula’. Saya hanya mengaku memang nampak dia sebelum dipukul dengan tangan sebanyak enam kali mengenai telinga dan kepala sebelah kanan, selain kepala dihentak dengan buku teks.

“Dia beri amaran jangan buat lagi. Dia juga kata berkata tidak takut sekiranya saya beritahu keluarga, malah akan terus pukul saya sekiranya nampak saya di dataran lagi,” katanya.
Najwa pula berkata, ketika kejadian, guru itu masuk ke kelas Pendidikan Jasmani sebelum bertindak memanggilnya dan bertanya.

"Kemudian saya diarah berdiri dan duduk di kerusi beberapa kali sebelum kepala dihentak buku teks sebanyak dua kali dengan kuat. Dia turut menghambur kata-kata kesat," katanya.

Bapa Najwa, Mohd Shah Hasim, 49, pula turut melahirkan rasa marah apabila perempuannya yang kini trauma dan takut untuk ke sekolah dihukum dan dicemuh sedemikian di hadapan rakan-rakannya.

“Jika Najwa melanggar disiplin sekolah, saya faham tindakan guru itu. Tetapi Najwa dihukum selepas seminggu kejadian atas kesalahan dilakukan di luar waktu sekolah pada hujung minggu,” katanya.

Atas tindakan tidak wajar guru berkenaan, ibu bapa Izzul dan Najwa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, kira-kira 10.30 pagi kelmarin.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran negeri, Kasim Mohamad ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya belum menerima laporan sama ada menerusi lisan atau bertulis daripada Pengetua sekolah berkenaan.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan sejurus laporan kejadian diterima.

#APA LAGI CIKGU MAHU???

Sumber

No comments:

ALL POST